Assalamualaikum.
Saat aku menerima tawaran melanjutkan pelajaranku di Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pemasaran, aku sangat bersyukur. Aku boleh lihat keceriaan pada wajah mak. Sewaktu aku mengisi borang UPU sememangnya UUM pilihan utama aku.
Pada hari pendaftaran aku dihantar oleh mak dan kakak sulungku yang kebetulan bercuti pada hari tersebut. Oleh kerana mak pernah bekerja di UUM suatu masa dahulu maka tidak menjadi masalah untuk kami mencari tempat pendaftaran di Dewan Bunga Raya Dpp Mas. Oleh kerana aku pelajar ambilan ke-2, aku hanya perlu menjalani orentasi selama 3 hari. Sepanjang orientasi aku banyak di beri pendedahan mengenai akademik, kemudahan yang terdapat di UUM, dan juga dibawa melawat persekitaran UUM seperti bilik kuliah, pusat sukan dan sebagainya.
Pada hari pertama kuliah, pukul 7.15 pagi aku sudah terpacak tunggu bas bersama kawan baru aku, Aein walaupun kelas kami pukul 8.00 pagi kerana takut sesat. Sebelum bertolak aku sudah bertanya rakan sebilik aku yang sudah semester 3 bagaimana mahu ke kelas aku di Dewan Kuliah Gugusan 3, dia tak lokek memberi petua jalan kepadaku. Namun, seperti yang aku jangkakan aku dan Aein tersesat, mujur akhirnya kami berjumpa dengan kawan-kawan yang sekelas dengan kami berdua.
Aku dan Aein sewaktu semester 1
Semester 1 aku mula belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang mahasiswi.
Semester 2 bermula penuh dengan semangat berkobar-kobar. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan Semester 1 aku sangat memuaskan. Aku bertekad mahu mengisi semester 2 aku dengan aktiviti-aktiviti berfaedah dan mengurang aktiviti tidur aku seperti semester 1. Semester 2 aku mula mencari persatuan-persatuan yang aku boleh sertai bagi mengisi masa lapang aku dari terbuang. Suatu hari kawan aku Vivian memperkenalkan aku dengan satu club yang bernama Enactus. Enactus Uum merupakan organisasi yang membantu komuniti untuk menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup mereka. Organisasi ini menjalan pelbagai projek tetapi aku tertarik dengan projek yang bernama Back2bag di mana projek ini membantu Orang Kelainan Upaya (OKU) menjana pendapatan sampingan dengan mengitar semula plastik menjadi barang yang boleh di jual. Aku tidak fikir panjang untuk menyertai kelab ini kerana ianya sememangnya yang aku cari.
Sepanjang aku menjadi ahli Enactus Uum, aku mula sibuk dengan mesyuarat setiap minggu dan juga melawat Pusat Orang Kelainan Upaya. Walaupun sibuk namun aku gembira kerana aku dapat menimba pelbagai pengalaman dan juga dapat membantu orang yang memerlukan.
Kenangan sewaktu mesyuarat kali pertama
Semester 3 aku masih aktif sebagai ahli Enactus Uum namun aku juga turut mengisi masa lapang aku dengan menghadiri program-program anjuran Dewan Penginapan Pelajar Sime Darby seperti Malam Penghayatan Kemanusiaan, Hari Terbuka Dpp Sime Darby dan banyak lagi. Selain dari itu, aku juga turut melibatkan diri sebagai ajk aktiviti sewaktu Hari Terbuka Dpp Sime Darby yang memerlukan aku menguruskan aktiviti selama tiga hari program tersebut. Banyak pengalaman yang aku dapat sepanjang menjadi ajk aktiviti apabila memerlukan aku berurusan dengan pihak pengurusan tadika untuk menjemput pelajar tadika untuk menyertai pertandingan mewarna selain menguruskan sukan rakyat yang melibatkan semua penghuni Dewan Penginapan Pelajar Sime Darby.
Pertandingan mewarna
Semester 4 aku masih terus mengisi masa lapangku dengan program-program anjuran kelab dan persatuan di Universiti Utara Malaysia. Sebolehnya aku mahu memanfaatkan peluang yang ada untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran dalam diri sepanjang bergelar mahasisiwi. Semester 4 juga aku berpeluang menjadi Biro Cenderahati untuk Majlis Makan Malam Tahunan Kelab Permasaran Universiti Utara Malaysia. Sepanjang terlibat mengendalikan Majlis Makan Malam aku dapat kenal ramai pelajar kursus permasaran disamping dapat mengenali mereka dengan lebih dekat.
Majlis Makan Malam Tahunan Kelab Permasaran Universiti Utara Malaysia.
Semester 5 aku pulang awal ke Universiti Utara Malaysia kerana semester 5 aku memikul tanggungjawab baru sebagai Pengarah Projek Back2bag Enactus Uum. Satu tanggungjawab besar bagi aku kerana bukan mudah untuk membahagikan masa antara pelajaran dan projek. Kalau dahulu aku hanya mempunyai satu mesyuarat seminggu tapi semester 5 aku mempunyai 2 mesyuarat iaitu mesyuarat bersama Majlis Tertinggi Enactus Uum dan juga mesyuarat bersama ahli jawatan kuasa projek. Pada awal semester aku agak tertekan dengan tanggungjawab baru ini kerana terlalu banyak perkara yang aku perlu lakukan, namun alhamdulillah lama-kelamaan aku mula menyesuaikan diri dengan tugasan yang diberi dan mula belajar membahagikan masa dengan bijak antara pelajaranku dan juga tanggungjawab yang lain.
Barisan Majlis Tertinggi Enactus Universiti Utara Malaysia.
Semester 6 jawatan aku bertambah apabila pengetua Dewan Penginapan Pelajar Dpp Sime Darby melantikku menjadi Ketua Blok F. Aku cuba untuk menolak kerana risau tidak mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut, namun selepas pengetua menerangkan tugasan seorang ketua blok, akhirnya aku menerima kerana memikirkan semester ini merupakan semester terakhir aku memegang jawatan Pengarah Projek Back2bag. Alhamdulillah, kerana aku mempunyai pembantu iaitu ketua paras di setiap paras yang sangat membantu memudahkan tanggungjawab aku sebagai ketua blok.
Semester 7 merupakan semester terakhir aku di Universiti Utara Malaysia sebelum praktikal dan seterusnya melangkah ke alam pekerjaan. Semester 7 aku ingin mengisinya dengan kenangan-kenangan manis bersama rakan-rakan yang selama ini aku pinggirkan akibat kesibukan dengan projek. Pelbagai rancangan yang kami rancang untuk lakukan bersama-sama sepanjang semester 7 ini termasuklah pergi melancong bersama, ambil gambar di setiap sudut Universiti Utara Malaysia dan banyak lagi.
Kawan-kawan kelas permasaran.
Aku harap perjalananku di universiti tidak terhenti di sini, moga ada rezeki untuk sambung pengajianku ke peringkat lebih tinggi. Amin.